Oct 8, 2010

Kisah suka duka sebelum berjaya Datuk Sosilawati Lawiya




KISAH hidup wanita yang boleh dianggap antara paling berjaya dalam bidang industri kecantikan di negara ini Datuk Sosilawati Lawiya sememangnya penuh ranjau dan duri.
Sosilawati yang pernah mengalami pelbagai peristiwa jatuh bangun dalam hidup kini dikejutkan pula dengan kisah kehilangan beliau sejak ahli keluarganya melaporkan kehilangannya sejak 30 Ogos lalu.
Kini setelah Hari Raya Aidilfitri masuk hari ketiga keluarganya masih belum menerima berita mengenai pemilik syarikat kosmetik terkenal, Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Beauty) itu.
Sosilawati, 47, tidak pulang ke rumah setelah pergi ke Banting, Selangor bersama tiga lagi yang lain untuk menemui seorang peguam bagi menyelesaikan urusan pembelian tanah di Pulau Pinang.
Penulis yang pernah mewawancara beliau pada tahun lepas turut berasa kagum dengan kegigihan beliau mencorakkan kehidupan sebelum berjaya memartabatkan diri dalam kehidupannya sekarang.
Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka. Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan pastinya akan terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.
Begitulah pengalaman hidup yang diharungi oleh Sosilawati dalam mengharungi liku-liku kehidupann yang sememangnya sangat mengharukan.
Akibat kegagalan perkahwinan pertamanya telah benar-benar mengajar beliau erti sebuah kehidupan.
Satu ketika dahulu wanita ini pernah menjaja produk kecantikan dari rumah ke rumah sambil mengendong bayinya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi menyara enam anaknya yang masih kecil selepas suami yang dahulu menjadi tempat bergantung menceraikannya.
Biarpun tidak pernah keluar bekerja sepanjang bergelar isteri pada perkahwinan pertama, Sosilawati tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk mengharap belas ehsan daripada orang lain bagi meneruskan kehidupan.
Menurut wanita kelahiran Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini, penceraian pada usia awal 30-an telah menjadikannya lebih berani untuk menongkah liku-liku kehidupan.
Yakin bahawa tiada yang mustahil dan kesanggupan untuk belajar serta bekerja keras, beliau sanggup berkorban demi membesarkan anak-anak.
"Saya akui, perceraian pertama memang perit apatah lagi di bahu saya tergalas tanggungjawab untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna.
Sosilawati percaya bahawa jodoh dan pertemuan itu urusan Tuhan malah tidak keterlaluan jika dikatakan perceraian tersebut menjadi pencetus kepada kejayaannya sekarang.
Bagi beliau peristiwa itu mengajarnya untuk berdikari dan mula bercampur dengan rakan-rakan yang terlibat dalam perniagaan kosmetik dan kecantikan dan mendapati ia merupakan sebuah perniagaan yang bagus.
Berkat kesabaran dan menganggap kegagalan sebagai pengajaran Sosilawati gigih mengusahakan rangkaian produk kecantikan Nouvella Visage (NV) malah sudah bergelar jutawan kosmetik pada usia 40-an.
Mengakui tidak mempunyai pendidikan yang tinggi hanya sekadar SPM sahaja namun beliau sanggup bermula dari bawah.
"Pada asalnya saya hanya menjual produk kosmetik orang lain kemudian saya menubuhkan butik kecantikan.
"Saya buat sendiri semua urusan dari memberi facial hinggalah menarik pelanggan. Namun berkat dari usaha bersungguh-sungguh dan tidak mengenal erti putus asa, hasilnya saya nikmati sekarang," katanya.
Kejayaan
Beliau kemudiannya berjaya mengusahakan produk sendiri, NV sebelum mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia. Kejayaan beliau menghasilkan sebuah produk yang murah tetapi berkualiti merupakan penanda aras kepada kejayaannya sekarang.
Pada peringkat awal sememangnya ia memerlukan usaha yang gigih apatah lagi stigma masyarakat lebih mempercayai produk kecantikan dari Barat.
Namun Sosilawati berjaya membuktikan bahawa produk ini berkesan, dan sesuai digunakan masyarakat negara ini. Prinsip dan falsafah yang dipegangnya sehingga sekarang iaitu kerja keras dan percaya pada kemampuan diri sendiri merupakan tonggak kepada kejayaannya sekarang.
Namun katanya paling penting ialah jangan sekali-kali menipu orang lain kerana perkara paling penting ialah keberkatan.
Atas kesungguhannya juga, dia terpilih untuk menerima Anugerah Khas Tokoh Wanita dan Anugerah Wanita Nadi Negara daripada Kerajaan Negeri Johor pada tahun 2007.
Berkenaan soal impian, wanita ini sememangnya mempunyai perancangan dan visi yang jauh kehadapan.
"Saya telah menyimpan cita-cita untuk menubuhkan sebuah kolej kecantikan yang lengkap dengan semua kemudahan untuk kecantikan. Insya allah dalam tempoh terdekat ini ia akan menjadi kenyataan," kata Sosilawati kepada penulis.
Namun lumrah hidup juga membuktikan adakalanya tidak semua yang diidamkan senantiasa menyebelahi kita.
Kisah perkahwinan keduanya dengan rocker terkenal tanah air, Nashrudin Elyas atau lebih dikenali sebagai Nash yang meniti setiap akhbar dan majalah tidak mampu bertahan lama.
Hanya selepas 10 bulan mereka memadu kasih, perceraian terpaksa dipilih sebagai penyelesaian malah ia berlarutan di mahkamah selepas Sosilawati membuat laporan polis mendakwa Nash, mengeluarkan wang tunai miliknya tanpa persetujuan.
Sekali lagi Sosilawati mengejutkan rakyat Malaysia apabila didakwa ditangkap khalwat pada malam tahun baru lalu.
Beliau kemudiannya membuat dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan di luar negara dengan pasangannya seorang duda anak tiga yang dipercayai berasal dari Indonesia.
Sejak peristiwa itu berita mengenai Sosilawati sudah mula kurang kedengaran baik di dada akhbar mahupun di dunia maya.
Namun ini tidak bermakna beliau mendiamkan diri tetapi sebaliknya lebih aktif mengibarkan empayar perniagaannya terutama dalam bidang hartanah.
Malah dikatakan beliau memiliki harta dan wang tunai mencecah RM100 juta.
Atas alasan itu beliau bersama pemandu, peguam peribadi serta seorang pegawai sebuah bank telah pergi ke Banting pada 30 Ogos lalu.
Oleh Hafizahril Hamid
Sumber : Utusan Malaysia Online

Sikap 'degil' bawa kejayaan


SEMANGAT kental dan tidak mudah mengaku kalah dimiliki jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, menjadi inspirasi kepada orang ramai terutama wanita untuk berjaya dalam perniagaan seperti dirinya.Kegigihan wanita kelahiran Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor, ini memang tidak disangkal kerana siapa sangka, tanpa latar belakang pendidikan tinggi dan modal yang terhad, dia berjaya membina empayar perniagaannya sendiri yang kini dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Biarpun bergelar jutawan, wanita ini masih kaya dengan sifat merendah diri dan peramah, antara sebab utama dia disenangi pelbagai lapisan masyarakat.

Kesusahan hidup yang dilalui ketika kecil sedikit sebanyak mempengaruhi keperibadian Sosilawati yang diakui ramai mempunyai personaliti dan karisma tersendiri.

Semua itu diakui banyak pihak termasuk di kalangan teman rapat dan rakan perniagaannya sendiri.

Pengasas produk kecantikan Le'Rose, Roslawati Ramly yang mengenali Sosilawati sejak 14 tahun lalu, tidak menafikan ada kalanya sikapnya yang 'degil' banyak membawa kejayaan kepada apa yang diraihnya terutama dalam perniagaan.Dia mengakui tertarik serta agak teruja dengan semangat kental dan sikap keras kepala Sosilawati dalam mempertahankan idea, produk yang hendak dipasarkan serta kebijaksanaannya memacu perniagaan di awal perkenalan dengan jutawan kosmetik itu.



Jelas Roslawaty, maksud degil bukanlah kerana perangainya tetapi semangat dan keazamannya yang tinggi. Sosilawati tidak peduli dengan kata-kata orang mengenai apa saja yang diperkatakan dirinya.



"Biarpun kisah kegagalan perkahwinan hangat dibualkan, apa yang peliknya, dia masih boleh bertenang dan ketepikan apa saja cemuhan orang kerana padanya, apa yang paling penting adalah mendahulukan perniagaan melebihi segala-galanya.

"Dalam keadaan kontroversi macam mana sekalipun, saya bangga kerana dia terkenal sebagai seorang yang bekerja keras serta punya jiwa kental. Apabila berjumpa di mana saja majlis, dia tetap mesra dan sikap periangnya itu menggambarkan betapa tabah dirinya menghadapi apa saja rintangan.

"Kalau dia rasa dia hendak buat sesuatu, memang dia akan buat sebab dia rasa apa yang dilakukan betul dan tidak akan ambil pusing apa orang keliling kata.

"Ternyata dalam apa juga perkara, dia melakukan sesuatu itu berdasarkan pengalaman, pengamatan, kajian dan sememangnya sasarannya sentiasa tepat serta betul. Kelebihan itulah yang ada padanya dan tidak ada pada orang lain," katanya.

Tidak menafikan ketika di awal memulakan perniagaan kecantikan, Roslawaty mengakui amat teruja dengan kehebatan Sosilawati yang pada waktu itu sudah pun memiliki produk yang diasaskannya dengan penuh kepayahan.

"Ketika itu terdetik di fikiran mengapa tidak saya turut mengasaskan satu produk kecantikan sendiri kerana sebelum ini pernah menjadi model produk dan turut mempunyai keupayaan seperti pengasas lain.

"Daripada situ, timbul keinginan untuk belajar dan bersaing secara sihat. Selepas berpeluang mendekatinya, ternyata telahan selama ini mengenai Sosilawati benar kerana dia memang senang berbicara dan tidak pernah bermegah dengan apa yang dimiliki.

"Biarpun menjalankan perniagaan dalam bidang yang sama iaitu kosmetik, soal cemburu terhadap produk yang dipelopori masing-masing tidak pernah menguasai hati.

"Ini kerana jaringan dan hubungan baik yang dibentuk sesama usahawan berteraskan profesional membuatkan perniagaan berjalan dalam keadaan baik dan lancar," katanya yang menganggap hubungan erat itu bagaikan adik-beradik yang saling membantu.

Bagi Datin Norzaina Ghani, biarpun baru lima tahun mengenali Sosilawati, persahabatan tetap terjalin erat, mungkin kerana masing-masing terbabit dalam perniagaan kecantikan.

Mesra dengan panggilan Ira, dia amat mengagumi keperibadian Sosilawati yang mudah mesra dengan sesiapa saja termasuk yang baru mengenalinya.

Jelas pengasas produk Aura Seri itu lagi, sepanjang mengenali usahawan itu, dia memang seorang yang positif dalam kehidupan termasuk banyak membangkitkan semangat untuk berjaya.

Sosilawati tidak kedekut ilmu, idea mahupun wang ringgit dan sepanjang perkenalan mereka, dia selalu menitipkan pesanan jangan segan bertanya jika mempunyai keraguan atau masalah.

"Dia pernah berkata yang saya ada pakej untuk menceburi bidang kosmetik tetapi harus terlebih dulu mempelajari selok-belok selain perlu mempunyai keberanian.

"Malah dia juga menawarkan diri membantu daripada aspek berkaitan produk kecantikan jika saya mahu. Tetapi bila saya menyatakan belum bersedia untuk melangkah lebih jauh, dia turut berpesan supaya sentiasa bersikap positif memandangkan cabaran dalam bidang perniagaan ini.

"Pada masa sama, dia banyak menitipkan petua kerana dia sudah hampir 17 tahun berniaga sedangkan saya baru menceburi bidang ini tujuh tahun lalu," katanya.
Daripada pemerhatiannya, cara Sosilawati memberi nasihat memang tampak ikhlas dan bersungguh dengan apa yang dia perkatakan.

Katanya, kesibukan dengan perniagaan masing-masing menyebabkan mereka jarang berpeluang bertemu dan apabila sesekali bertembung di majlis tertentu, soalan pertama yang Sosilawati ajukan kepadanya adalah mengenai perjalanan perniagaannya.

"Pada pendapat saya, dia mahu persaingan perniagaan secara sihat. Dia juga tidak gemar menggunakan gelaran 'Datuk' yang dimiliki kerana tidak mahu wujud jurang dalam perhubungan.

"Selain itu, dia tidak pernah bermegah dengan kekayaan yang dimilikinya dan apabila rakan pengasas produk bertemu pada majlis tertentu, kami hanya bertanya khabar. Pernah kami ditemukan dalam satu majlis dan kami sama-sama memberi ceramah mengenai produk masing-masing.

"Sama ada dia dulu atau saya kemudian memberi ceramah, kami saling menghormati kedudukan dan produk masing-masing. Mungkin atas dasar itulah hubungan sesama kami sentiasa terjalin.

"Dengan kata lain, dia tidak pernah memandang rendah pada produk orang lain.
Jika saya katakan jualan produk tahun ini kurang memberangsangkan, dia beri idea supaya menukar strategi pemasaran dan pelbagai cadangan yang nampak benar-benar ikhlas.

"Ketika kali terakhir perbualan kami, dia meluahkan jualan kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Selebihnya, dia tidak bercerita panjang kerana semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

"Tetapi apa yang jelas, dia seorang 'kakak' bahkan mentor dalam apa juga perkara. Saya terharu atas keprihatinannya, juga kagum dan hormat kerana walau setinggi mana pun kedudukannya, dia tidak pernah menyombong diri," akuinya.

Fakta angka mengenai Sosilawati:

> Anak keenam daripada 12 beradik.
> Pernah bersama adiknya, Rosnani Lawiya, menoreh getah seluas dua hektar bagi membiayai yuran tuisyen pengajian dan tambang bas sebanyak RM20 sebulan.
> Sosilawati pernah bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya selama 18 bulan sebelum menjadi kerani hotel.
> Pada usia 21 tahun, Sosilawati berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik bagi membantu keluarganya.
> Dia berkahwin dengan seorang pengurus bank, pada usia 21 tahun dan bercerai 12 tahun kemudian.
> Hasil perkahwinan berkenaan, dia dikurniakan enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan.
> Memulakan perniagaan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, pengedar produk kecantikan Nouvelles Visages (NV) dengan pinjaman bank sebanyak RM200,000 pada 1994.
> Selepas 10 tahun, NV dikatakan mempunyai lebih 300 stokis di seluruh negara termasuk Brunei, Singapura dan Thailand.
> Syarikatnya dikatakan mempunyai aset keseluruhan berjumlah RM6.37 juta, jumlah liabiliti RM5.01 juta dan simpanan yang dianggarkan bernilai lebih daripada RM1 juta.
> Untuk tahun kewangan yang berakhir pada 2007, syarikatnya mencatat keuntungan bersih RM183,173 dan mencatat pendapatan RM7.54 juta.
> Dia pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Jamaludin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash pada 16 November 2006. Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada 26 Mei 2009.
> Kes perceraian berkenaan mendapat liputan meluas apabila dia menuntut kembali RM1.38 juta daripada penyanyi berkenaan.
> Membina bangunan sendiri di Cyberjaya bagi menempatkan pejabat syarikatnya yang dianggarkan bernilai RM20 juta.

3 comments:

  1. Assaalam. saya ingin mengambil artikel puan sebagai penanda aras saya dalam analysis sejarah NV.. terima kasih

    ReplyDelete
  2. Salam tuan tanah tumpang iklan.
    Nak order produk karisma boleh jgk hubungi saya:

    Akma 019-4228224

    Pastikan yg original dan lulus kkm..

    Cantikkkkkkkk sangat

    ReplyDelete
  3. Salam tuan tanah tumpang iklan.
    Nak order produk karisma boleh jgk hubungi saya:

    Akma 019-4228224

    Pastikan yg original dan lulus kkm..

    Cantikkkkkkkk sangat

    ReplyDelete